“Neil cantik sangat bila pakai baju kurung.”

Neil menunduk memerhatikan baju kurung kedah yang tersarung di tubuhnya. Cantik ke? Macam dah jadi kembar tokwan adalah. Dahlah baju tu memang sah-sah tokwan punya. Kain batik pun sewa tokwan punya juga. Kesimpulannya, memang macam gaya nenek oranglah. Cuma tak ada uban je.

“Iya ke tokwan?” Soal Neil tanpa perasaan. “Neil rasa macam rupa Neil ni macam kembar siam tokwan je.” Tuturnya lagi bersulam ketawa.

Tokwan hanya tersenyum. “Iya..cantik sangat. Macam perempuan Melayu terakhir.” Rasa sebak tiba-tiba bersarang di dada. Macam mama Neil juga dulu. Serupa.

Sayang, dia tidak dapat berbakti, menyayangi mama Neil. Memang dia akui, itulah silap terbesar yang pernah dia lakukan sepanjang hidupnya. Silap yang tidak dapat ditebus sampai bila-bila. Kini, dia hanya hidup dengan kenangan sahaja. Kenangan yang terlayar di depan mata.

Cucunya itu memang fotokopi menantunya. Tak ada satu pun yang berbeza. Dari rupa parasnya, hingga ke suaranya. Mirip sekali. Kerana itu jugalah dia hampir menolak wasiat anak lelaki tunggalnya, Usman.

“Hak penjagaan Neil diserahkan pada Su Yah.” Kata-kata Majid, peguam yang menguruskan wasiat Usman. Yang juga merangkap anak pada kakak sulungnya, Fatimah.

“Tak nak!” Ruqayyah menjerit sekuat hati. “Aku tak nak terima dia! Dia anak perempuan jahanam!”

“Astaghfirullah. Su Yah..istighfar Su Yah. Mengucap. Wasiat Usman ni tak ada salahnya. Wajib kita tunaikan wasiat dia.” Kakak sulungnya, Fatimah cuba menenangkan.

Ketika itu juga, tangisan Neil dari dalam bilik kedengaran. Isteri Majid dilihatnya mengendong Neil ke ruang tamu tempat mereka semua berbincang.

Saat matanya jatuh pada si kecil yang masih berselimut merah jambu itu. Hatinya entah tiba-tiba sahaja dipagut pilu. Mendengar tangisan si yatim itu. Seolah-olah meminta agar dia ditemukan dengan ibu dan ayahnya kembali. Kasihan sungguh si kecil itu. Dia terlalu kecil untuk menerima ujian ini. Dia terlalu muda untuk berpisah dengan ibu dan ayahnya.

Bibir bergerak perlahan menyedekahkan al-Fatihah pada kedua-dua arwah anak dan menantunya. Kura tangan menyeka air mata yang curi-curi keluar.

“Tokwan?” Suara Neil kedengaran. Mengapa Tokwan tiba-tiba mengesat matanya? Tokwan menangiskah?

“Si Firdaus nak hantar ikan petang nanti katanya. Jomlah kita solat dulu. Nanti kita turun ke bangsal.” Tokwan bingkas bangun menuju ke ruang dapur dan menghilang. Kedengaran pintu bilik air ditutup dan bunyi paip dibuka dari dalam bilik air.

Tokwan mengambil wuduk agaknya. Neil mengetap bibir kuat. Masalah..masalah..

Tadaaa!!

Naik ke permukaan untuk sedut oksigen kejap…

🙂🙂