Neil menyudahkan basuhan pinggan. Tokwan pula dilihat sekilas sedang mengelap meja makan. Selesai membasuh pinggan, tangannya mencapai penyapu di sudut berhampiran pintu dapur.

“Assalamualaikum!”

Neil dan Tokwan berpaling serentak. Mata bertikam satu sama lain. Siapa pula yang datang petang-petang ni. Dah nak maghrib pun. Takkan nak menghantar ikan lagi. Tapi… dengarnya macam suara perempuan.

“Biar Neil pergi tengoklah Tokwan.”

Penyapu diletak kembali ke tempat asal. Neil melangkah ke pintu. Menjenguk gerangan yang memberi salam di luar.

“Waalaikumsalam.” Neil menjawab salam tatkala matanya singgah pada sesusuk tubuh di depan tangga rumah. Seorang wanita bertudung biru tua tersenyum lebar bila mata mereka bertemu. Tangannya bertaut dengan tangan anak kecil bertocang dua di tepinya.

“Su Yah ada?” Soal wanita itu.

“Ada.” Serentak dengan jawapannya Neil mengangguk. “Tokwan!” Jerit Neil dari muka pintu.

Tak lama kemudian derap kaki memijak lantai papan kedengaran. “Siapa?” Soal Tokwan dari jauh.

Neil sekadar mengangkat bahu. Tokwan menjenguk gerangan di luar.

“Ya Allah! Ju! Jemput masuk!” Tokwan perlahan-lahan menuruni anak tangga. Menyalami wanita itu.

“Eh! Tak apalah Su Yah! Sekejap aja ni.” Wanita yang dipanggil ‘Ju’ itu menolak lembut. Neil saat itu hanya menjadi pemerhati.

“Jomlah kita masuk. Banyak nyamuk ni…” Tokwan akhirnya menarik tangan Ju memasuki rumah mereka.

#####

Neil menatang dulang yang berisi penuh dengan satu jag air sirap limau nipis dengan tiga biji gelas dan sepinggan keropok goreng. Langkahnya diatur cermat. Janganlah kain batik ni nak terlorot pulak masa naik tangga ke ruang tamu nanti. Terpelanting habis dulang dengan jag ni nanti. Habis Tokwan bising pula pinggan mangkuk dia pecah.

Hidangan dalam dulang beralih ke atas meja. Tokwan dan wanita tadi masih rancak bercerita. Apa entah yang seronok sangat duk diceritakan. Telinga hanya sekali-sekala menangkap perkataan hospital, Leman, anak-anak, dan mak. malas dia nak ambil pusing. Yang penting tugas dah selesai dan dia nak masuk bilik sekarang.

“Eh! Neil jemputlah duduk.”

Suara Ju menyapa telinga saat Neil mula berdiri. Neil tidak jadi memulakan langkah. Dia berpaling menatap wajah wanita bertudung biru itu. Eh? Dia tahu nama aku? Ada sixth sense ke?

Matanya jatuh pada Tokwan pula. Mengarut! Mestilah Tokwan yang bagitahu….

“Tak apalah kak. Jemputlah minum ya kak.” Dengan senyum nak tak nak dia menolak.

“Tak sudi ke duduk borak-borak dengan Kak Ju. Isy! Patutnya Kak Ju lah yang segan nak duduk dengan orang famous.” Ju tertawa perlahan.

“Eh Kak Ju ni!” Panas terasa muka. Ada pulak Kak Ju ni cakap macam tu. “Neil tak nak kacau daun je. Nanti kena kutil dengan Tokwan kalau menyampuk cakap orang tua-tua.” Sempat dia menjeling Tokwan yang sedang membulatkan mata padanya.

Ju sudah ketawa besar. “Tak apa, menyampuk cakap Kak Ju tak apa. Kak Ju tak cukup syarat nak jadi warga emas lagi.”

“Ha! Itulah orang muda-muda.” Tokwan pantas memintas bila Neil sudah mula ketawa.

Neil membatalkan hasrat untuk kembali ke bilik. Ingatkan Kak Ju yang berpakaian ala-ala ustazah ni serius. Rupanya loyar buruk juga. Ada-ada je lawak dia.

“Kak Ju kerja apa?” Soal Neil saat melabuhkan punggung ke atas sofa.

“Doktor.” Tokwan pula jadi tukang jawab.

Neil mengangguk sendiri. Patutlah dengar perkataan hospital tadi.

“Neil tak kerja ke?” Soal Ju pula.

“Tengah cuti. Tension jugak kalau duk kerja memanjang. Boleh patah kaki ni ha jawabnya.” Neil ketawa sambil tangannya menepuk paha sendiri.

“Tak apalah, dapat pakai baju mahal-mahal. Pakai barang kemas mahal-mahal. Kalau Kak Ju nak pakai macam tu jawabnya kena gadai hospital!”

Terburai lagi ketawa selepas Ju menuturkannya.

“Alah… bukan baju sendiri pun. Semuanya pinjam.” Neil mencebik bibir.

Lama mereka berbicara. Macam-macam cerita dikeluarkan. Daripada hujung rambut sampai ke hujung kaki. Beg tanganlah, bajulah, cutilah, rayalah. Macam-macam. Biasalah perempuan berborak… tak sedar waktu yang pantas berlalu. Sampailah azan maghrib berbunyi. Semuanya terdiam sekejap.

Ju mengerling jam di tangan sekilas. Matilah aku….

“Eh! Ju balik dulu Su Yah! Nanti Leman tu duk tercari-cari karang. Dia nak keluar pergi masjid nampak bini dia baru balik rumah. Haih... kena jeling karang. Terima kasih keropok ni.” Kalut dia menutur sambil mencapai bungkusan plastik berisi keropok keping yang diletakkan Su Yah di tepi meja tadi.

“Sama-sama.” Balas Tokwan sambil menyalami Ju.

“Kak Ju datang KL nanti, jemputlah datang rumah saya.” Giliran Neil pula berjabat tangan.

“Insya-Allah…”

Tokwan dan Neil hanya memerhatikan kelibat Ju dan anaknya hingga mereka berdua hilang dari pandangan.

“Peramah betul Kak Ju tu. Baik pula tu.” Omel Neil lagi.

Tokwan sekadar mengangguk kemudian mengatur langkah ke jendela yang terbuka luas. Tangannya menutup daun jendela satu persatu.

~to be continued~


I lost my magic touch. hahaha… gaya cam selama ni ada ‘golden touch’ je😛

Entry tanpa perasa. Rasa macam nak habiskan terus je. Tapi… tu lah… tengah cari ilham ni.

Anyway… sorry kalau blog ni tak seaktif dulu.😀

Enjoy reading… tapi jangan lupa tambah amal(pesanan untuk diri sendiri jugak)🙂