“Kalau orang yang baik, pasangannya pun baik. Macam Ju dengan Leman tu. Dua-dua soleh, solehah.”

Neil mengelap mata yang masih degil mengalirkan mutiara jernih. Kenapa hari ni baru dia nak banjir. Tolonglah mata. Dah la…. Biarlah. Biarlah tajam mana pun kata-kata Tokwan itu. Biarpun bisanya boleh meracun hulu hati.

“Tokwan doakanlah Neil. Haidar tu baik sangat.”

“Nak pasangan soleh kenalah jadi solehah. Tak boleh terbukak, terdedah. Tak adanya orang soleh-soleh nak pandang kalau dah basi tu.”

Lain yang dituturkan, lain pula balasan Tokwan. Patah demi patah yang terbit dari bibir Tokwan membuatkan lidahnya terus diikat saat itu. Terus dia meminta diri untuk ke bilik. Kononnya ada kerja nak dibuat. Huh! Itu saja alasan yang mampu diberikan. Kerjanya ialah menyembamkan muka ke bantal. Dan bantal itu sudah lencun dengan air matanya.

Dia sedar, ini bukan kali pertama Tokwan berkata begitu. Dah berbuih-buih mulut Tokwan berkias. Sudah berkali-kali sorotan mata tua itu menyampaikan ketidaksenangan hati. Cuma dia buat-buat tak tahu. Buat-buat tak faham. Bukan dia buat salah, lantas untuk apa merasa bersalah.

Selama ini, dia keraskan hati. Sekeras batu yang membentuk sebuah gunung. Kenapa pula hari ini hatinya bagaikan kulit bawang saja? Kenapa cepat benar tertoreh hari ini?

Selama ini dia kebal, tak lut oleh mana-mana peluru pun. Tapi hari ini, sampai hati Tokwan. Tokwan cakap Neil ni basi? Basi yang layak dibuang ke dalam tong sampah. Tokwan samakan Neil dengan sampah Tokwan? Sampainya hati….

Neil sedar Neil ni bukan siapa-siapa. Cuma cucu daripada menantu bukan pilihan. Menantu yang dikatakan merampas hidup anaknya. Tapi, Neil cuma menggunakan anugerah yang Tuhan bagi untuk mencari rezeki Tokwan. Salah ke? Salah ke kalau Neil nak bagi hidup yang sempurna pada Tokwan. Neil cuma nak gembirakan Tokwan dengan hasil titik peluh Neil sendiri.

Mukanya disembamkan ke bantal. Kalau Tokwan nak buang Neil, kenapa Tokwan tak buang masa Neil kecil dulu? Kenapa Tokwan tak letak Neil di tempat pelupusan sampah? Kan Neil ni dah basi. Layak sangat nak ditempatkan bersama sampah-sampah yang baunya menyengat lubang hidung. Kenapa Tokwan tak hantar Neil tinggal di rumah anak yatim je? Kan Neil ni anak yatim piatu. Layak untuk jadi penghuni rumah tu.

Dia akhirnya bangun. Menuju ke almari pakaian setinggi enam kaki di sudut bilik. Pintu almari dibuka. Matanya tertancap pada sebuah bagasi Polo miliknya. Akal berperang hebat. Dia mengetap bibir bawah memikirkan resolusi yang bakal dipilih.

Kalau ini yang Tokwan nak. Baiklah Tokwan. Neil ikut saja.

Bagasi ditarik dari tempat kediamannya. Zip dibuka. Tangannya pantas memasukkan baju-baju yang bakal dibawa pulang.


~to be continued~

😀

Sorry.

Life schedule sangat-sangat hectic sekarang ni.

Jangan letak expectation entry yang ‘kerap’.😦

(Runny nose, dry cough, headache, fever, windy road, minor sandstorm, exams = complete package😦

Oh… nikmatnya hidupku. heh.😛 masih mampu tersenyum walaupun macam duk dalam freezer😀 ahakz!)