“Jadi… apa pendapat Nana?”

Dia sengih pada aiskrim dalam bekas. Semalam dia berjanji nak jumpa Kak Zatil di Tutti Frutti Kuantan. Haih… berdebar nak jumpa Kak Zatil sampai termimpi-mimpi makan aiskrim. Lepas tu, terbabas subuh terus. Sepatutnya dia kena jumpa Kak Zatil pukul 9 pagi di sini, tapi sebab dah terbabas mimpi makan aiskrim… sampailah dia pukul 10 pagi. Nasib baik Kak Zatil ni jenis tak kisah sangat. Hari pertama ‘temu duga’ dah lambat. Nana… Nana… apa nak jadilah dengan budak ni seorang.

Err… sebenarnya kalau kakak nak tahu, Nana ni tak ada bakat terpendam pun.”

Tawa kecil Zatil meletus. “Nana, kakak bukan nak cungkil bakat. Bakat tu boleh diasah. Tak ada masalah bab tu.”

Kening Nana terangkat. “Nak asah apa, bakat pun tak jumpa.”

Sekali lagi, tawa Zatil meletus. Kali ini lebih kuat. “Macam ni, Nana anggap saja ini proses belajar. Bukan kerja. Cuma belajar kali ni… Nana dapat gaji.” Jeda. “Ataupun… elaun. Okey?”

Kepala terasa gatal. Tangan mula menggaru kulit kepala belah kiri. Dalam telinga kanan pula rasa gatal. Nanti… kalau dia tolak tawaran Kak Zatil, mami marah pula.

“Nana… zaman sekarang ni jangan memilih kerja sangat. Sekarang ni ramai orang ambil bidang lain masa belajar, kerja bidang lain. Apa salahnya kalau tolong Kak Zatil kat kedai dia tu. Kan lagi elok daripada Nana duduk membuta, ternak lemak aje di rumah.” Suara mami bergema semula dalam kotak fikiran. Lemak dah berkilo-kilo dia ternak, sama banyak kilonya dengan bebelan mami padanya. Rasanyalah. Heee….

Perlahan-lahan dia angkat kepala. Bertentang mata dengan Kak Zatil semula. “Kakak nak Nana mula bila?”

Sengih lebar memekar di bibir Zatil. Akhirnya… “Esok. Boleh?”

Panaskan enjin[?]😉