“Saya bangga ada suami macam awak.”

Bahunya jadi tegak. Tiada angin, tiada ribut… begini mukadimahnya. Wajah isterinya itu dipandang lama. Perlahan-lahan, senyum mula terukir di bibir. Secawan teh limau nipis yang berasap tipis disambut, kemudian diletak atas meja.

“Sebab Turki sekarang ni digeruni Israel.”

Bahunya jadi kendur. Satu keluhan terlepas dari hembusan nafas. “Bangga, sebab saya orang Turki?”

Nas senyum lebar, mengangguk bersungguh-sungguh.

“Nas, sekarang ni… bukan sebab saya orang Turki, awak orang Malaysia. Boleh tak kalau kita buang semua nama negara tu dan letak satu bendera.”

Kening Nas terangkat sebelah. Matanya melekat pada Sadiq. Tak berkelip. “Satu bendera?”

“Islam.”

Jeda. Tangan memegang cawan teh. Masih panas lagi untuk dihirup.

“Israel tu… sebenarnya lemah sangat sekarang ni. Kita dengar bom-bom dia aje, kita jadi takut. Ariel Sharon, sampai sekarang masih koma. Mana ada kuat. Sebenarnya, masalah sosial, pergolakan politik dalaman dah meruncing dalam negara Haram tu. Tahu tak, Tel Aviv tu sebenarnya pusat gay terbesar di dunia.”

Nas telan air liur.

“Ini… mesti gara-gara pilihanraya US ni. Sebab itu mereka serang Gaza. Ada polisi barulah tu. Kalau awak perasan, dulu masa mereka serang tahun 2008 ke 2009 dulu… sekitar hari raya Aidil Adha. Tahun ni, satu Muharram. Mereka memang sengaja cari fasal dengan kita semasa perayaan kita.”

Pandangan dibuang pada pintu balkoni yang terbuka luas di belakang suaminya. Bahunya kendur. Senyumnya mati. “Sampai bila kita nak dengar berita sedih macam ni…?”

Jemari Sadiq memegang dagu sang isteri yang sudah keruh air mukanya. “Selagi kita sendiri tak menyumbang dengan sehabis nyawa untuk bersatu tanpa mengira sempadan negara.”

Keluhan berat terlepas lagi. Hati jadi makin sedih. “Lambat lagilah macam tu.”

Sadiq geleng. “Kalau kita mula usaha dari sekarang, tak lama lagi dah kemenangan itu Nas.”

Dalam hati memanjat doa… tak lama lagi dah.

Kalau satu hari kita seorang demi seorang boikot produk yang memberi dana kepada persenjataan Israel, tak lama lagi dah. Kalau satu hari, seorang demi seorang menghasilkan produk alternatif bagi menggantikan produk yang diboikot itu… tak lama dah. Kalau satu hari, seorang demi seorang mula memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu ini… tak lama lagi dah. Kalau satu hari, kita seorang demi seorang mula beri sumbangan kewangan kepada Palestin, tak lama lagi dah. Kalau detik ke detik, seorang demi seorang mula memperbanyakkan doa, tak lama lagi dah.

Dan bila satu hari, seorang demi seorang ibu, bapa, mendidik anaknya memahami erti kesatuan dan perpaduan dalam Islam. Kemudiannya generasi itu memerintah sesebuah negara seperti generasi yang memerintah Gaza sekarang… memang betul, tak lama lagi dah.

Paling penting, Naseema termasuk sekali dalam salah seorang penyumbang itu ya!