Antara kenalan, rakan dan sahabat.

Pastinya sahabat itu yang paling sedikit bilangannya, paling tinggi nilainya.

Saat kita tersungkur mencium tanah, yang memerhati itu kenalan. Yang bersimpati itu, rakan. Namun yang menghulur tangan, menyapu kotoran yang terpalit dan yang menenangkan hati itu, sahabat.

Andai kita amati, yang kita selalu kita tambahkan itu, kenalan di laman sosial. Yang kita selalu temui saat keletihan belajar dan bekerja itu, rakan untuk kita bersosial. Dan yang kita seringkali temui di balik titipan doa sendu gembira, ketika senyum tangis, canda geram bertamu itulah sahabat.

Sahabat itu tetap disitu meski dimaki, dicaci, dimarahi, diherdik, disalahertikan. Kerana dia tahu setiap sisi sang sahabatnya, baik yang terang mahu yang samar. Biar bagaimana dibenci, dalam hati… itu juga yang pasti dicintai.

Sahabat itu tetap disitu meski dunia sedang bersorak gembira untuk kita, meski angkasa menari keriangan menyambut kejayaan kita. Kerana dalam setiap doanya, cuma mahu yang kirana mestika sahaja untuk sang sahabat. Biar saat itu keberadaannya ditenggelami oleh lautan rakan mahupun kenalan.

Sahabat itu… satu elemen yang maha indah dalam penciptaan manusia. Indahnya hingga, andai seorang sahabat itu tiba-tiba tidak ditemui di syurga nanti, maka pasti dia bertanyakan perihal sang sahabatnya. Di mana keberadaannya? Bagaimana keadaannya? Sudah di syurgakah dia?

Andai sang sahabatnya masih sedang dihisab amalnya, atau sedang meniti jerih payah atas Titian Sirat… terus dia memohon pada Tuhannya; Ya Allah… sesungguhnya dia sahabatku, sesungguhnya dia kecintaanku… selamatkanlah dia. Biar aku di sini, bersamanya… di syurga.

Tanpa sedar… ada mutiara jernih yang perlahan-lahan jatuh ke pipi. Ya Allah… aku ingin bersamanya di syurga!

~to be continued~

Untuk mereka yang masih punya sahabat, masih bergelar sahabat.
Jangan lupa ucapkan, Alhamdulillah.🙂