“Mami… pokok mangga kita tu berbunga lebat kali ni.”

Nana melabuhkan punggung di sebelah mami di muka pintu dapur. Memang muat-muat betul mereka berdua duduk situ.

Mami memandang Nana yang duduk di sebelahnya. Kepala digelengkan. “Suka benarlah dia ni bertempek dekat Mami sempit-sempit ni.”

Komen Mami disambut dengan tawa besar dari Nana. “Eloklah tu Mami. Nana kurus lagi, muat lagi ni ha.”

Tawa Nana makin tak boleh berhenti bila tengok muka malas nak layan Mami buat. Bunyi daunan ditiup angin sore mengisi ruang antara mereka.

“Kalau banyak nanti bolehlah kita cecah kicap belacan. Tak pun kuah rojak. Lepas tu, boleh bagi sikit pada saudara-mara.”

Telinga ditadah. Tangan Mami dicapai. Mata meneliti satu demi satu urat di tangan Mami. Tangan inilah yang mengusap Nana dulu. Tangan ini juga yang memandikan Nana dulu. Diusap hujung jari Mami. Keras kulit hujung jari Mami. Keras sebab tangan ini juga yang duk kalut mengangkat periuk atas dapur tak sempat nak ambil kain pemegang sebab takut lauk hangit. Kulit tapak tangan Mami kasar. Kasar sebab tangan inilah yang suapkan Nana, cuci pinggan, cuci kain untuk Nana. Kasar sebab dah kebal kena minyak panas menggoreng ikan untuk bagi Nana makan.

Mami dah buat muka pelik bila Nana tak berhenti tilik tangan Mami.

“Ni… kenapa tilik tangan Mami macam tu sekali ni…?”

Nak tengok banyak mana dah jasa dan budi Mami untuk Nana yang tertulis di tangan ni….

Tapi… ada idea nakal terlintas di kepala. Nana sengih lebar, memulangkan tangan Mami semula.

“Adalah…!”